Thursday, August 30, 2012

Hari-hari Terakhir Puteri Diana



MALAM 31 Ogos, 1997, adalah malam biasa bagi Diana, Puteri Wales, “diserang” oleh jurugambar atau “paparazzi” yang sentiasa mengerumuninya, ketika dia bersedia untuk pergi ke apartmen Dodi Al-Fayed, di Paris.
Namun begitu, beberapa minit selepas meninggalkan Hotel Ritz, puteri itu, Dodi dan pemandu mereka, Henri Paul terlibat maut apabila kereta Mercedes mereka, terbabit dalam kemalangan di terowong Place De L-Alma.

Malam tadi, aktres Naomi Watts, mencipta kembali saat-saat dramatik itu ketika dia membuat penggambaran filem terbaru Diana, di Trieste, Itali.
Dengan rambutnya yang dipotong pendek, Naomi kelihatan persis seperti mendiang puteri itu.
Bintang yang dilahirkan di Kent itu memakai seluar warna cerah dan jaket gelap.
Bangunan Palazzo Stratti di Piazza dell’Unita di’Italia digunakan sebagai Hotel Ritz, ketika Naomi dan pelakon lain membuat penggambaran, minggu lalu.
Juga kelihatan di luar bangunan itu adalah aktor Kanada, Anvar yang berlakon sebagai Dodi, mengenakan jaket coklat dan seluar jean, iaitu pakaian yang hampir sama yang dipakai oleh lelaki itu sebelum dia maut dalam kemalangan itu.
Seperti ramai yang ingat, Diana dan Dodi, bersama pengawal keselamatan Diana, Trevor Rees-Jones, meninggalkan Hotel Ritz melalui pintu belakang pada 12.20 malam untuk melarikan diri daripada jurugambar.
Tetapi, beberapa orang jurugambar yang menunggang motosikal, mengekori kenderaan itu ketika ia meluncur laju di jalan di Paris.
Beberapa minit kemudian, kereta Mercedes yang dianggar dipandu dalam kelajuan 65 batu sejam, melanggar tiang di dalam terowong itu.
Diana yang cedera parah, meninggal dunia di hospital pada jam 4 pagi.
Naomi dan kru penggambaran tiba di Trieste semalam, selepas membuat penggambaran di Croatia.
Awal minggu ini, Naomi mencipta kembali gambar puteri itu yang paling ikonik, iaitu berdiri bersendirian di atas kapal layar mewah, sambil memandang ke laut.
Gambar asal puteri itu, yang diambil beberapa minggu sebelum kematiannya, menjadi gambar yang paling dikenali sepanjang masa.
Aktres itu menjalankan penggambaran yang memaparkan percutian Diana di atas kapal layar Mohamed Al-Fayed yang berlabuh di Portofino, ketika gambar itu diambil pada Ogos 1997.
Naomi mengenakan pakaian mandi biru muda, sama seperti yang dikenakan oleh Diana, direka oleh Melissa Odabash dan rambutnya disisir seperti fesyen terkenal yang digayakan oleh puteri itu membuatkan Naomi persis seperti mendiang puteri itu.
Wakil Odabash, di mana pakaian renang jenama itu menjadi kegemaran selebriti seperti Cheryl Cole dan Kelly Brook, memberitahu Mail Online, pereka mereka mencipta semua pakaian renang untuk filem itu.
Diana dan Dodi bercuti sembilan hari di atas kapal layar bapanya “Jonikal” sebelum bertolak ke Paris.
Filem itu menceritakan dua tahun terakhir kehidupan Diana sebelum kematiannya dan memberi fokus kepada hubungannya dengan doktor bedah jantung Dr Hasnat Khan yang dilakonkan oleh bintang “Lost”, Naveen Andrews dan kemudian percintaannya dengan Dodi.
Naomi berkata dia “gerun” melakonkan watak ikon itu.
Filem yang diarahkan oleh pengarah dari Jerman, Oliver Hirschbiegel pada asalnya diberi judul “Caught In Flight” sebelum ditukar dengan judul ringkas, “Diana.”
- Harian Metro

No comments:

Post a Comment